Tuesday, October 13, 2009

Pembalakan Haram – BPR Diminta Pro Aktif

Pembalakan Haram – BPR Diminta Pro Aktif

Kerajaan Negeri tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan dalam pengurusan hasil pembalakan bagi memastikan kekayaan semulajadi negeri diurus tadbir dengan baik.

Malah, kerajaan menyedari terdapat kes kecurian balak di negeri ini dan ia sukar dikawal menyebabkan beberapa laporan dibuat kepada Biro Pencegah Rasuah (BPR) bagi membendung kejadian itu daripada terus berlaku.

Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said memberitahu demikian ketika menjawab soalan YB Haji Ramlan Ali (Barisan Nasional – Jabi) pada Sidang Dewan Undangan Negeri , Kuala Terengganu, hari ini (15 Disember).

“Saya minta pihak BPR lebih pro aktif untuk menyelesaikan kes-kes yang dilaporkan dan orang ramai perlu memberi kerjasama dengan membuat laporan terus kepada BPR,” katanya.

Sehingga 20 November 2008 terdapat empat kes yang sedang disiasat untuk diambil tindakan, termasuk dua kes di kawasan Hutan Simpan Kekal dan dua kes di kawasan hutan tanah Kerajaan.

Menurut Dato Ahmad, kawasan yang dikesan ialah berhampiran Projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua, di Hutan Simpan Bukit Bauk, Dungun pada Januari 2008 dan di kompartment 5, Hutan Simpan Bukit Kesing, Setiu pada Oktober lalu.

“Manakala dua kes lagi melibatkan tebangan pokok di tanah kerajaan Kampung Payung, Mukim Kuala Nerus dan tebangan tanpa lesen di Tanah Kerajaan Bukit Pinang, Mukim Hulu Telemong yang berlaku pada Januari lalu,” katanya.

Katanya, beberapa langkah diambil bagi membanteras kejadian itu seperti mewujudkan pasukan rondaan di setiap daerah pentadbiran hutan serta mewujudkan peta ‘hot spot’ dalam kawasan tumpuan.

Di samping itu, kerajaan juga mempergiatkan pemeriksaan kayu-kayu dalam lori balak, dan turut menyita serta merampas peralatan kilang yang memproses kayu balak dari kawasan diceroboh.

“Parit turut digali di jalan-jalan masuk ke Hutan Simpan yang tiada aktiviti serta mempergiatkan rondaan dan intipan oleh Unit Penguatkuasa Jabatan Perhutan,” katanya.

No comments:

Post a Comment