Monday, September 14, 2009

CARTA ORGANISASI EMPAYAR McMUSA

CARTA ORGANISASI EMPAYAR McMUSA
Written by Admin
Monday, 14 September 2009 11:26
Oleh: HAFIZ JAMAIL


PENDEDAHAN Pengerusi Yayasan Warisan Borneo (BHF), merangkap Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan melalui artikel ‘Empayar McMusa Mula Goyah’ yang disiarkan di Sabahkini.net membuatkan saya menerima begitu banyak email terutama memberi maklumat tambahan untuk mengukuhkan dakwaan Jeffrey.

Memandangkan kes ini ada kaitan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, maka ianya menarik perhatian umum terutama kekayaan luar biasa yang dikumpulkan sepanjang tempoh beliau menjadi Ketua Menteri (Mac 2003 hingga kini).

Sebagai penghantar saman kepada sebuah syarikat guaman, saya lihat Musa tergamam apabila saya menyerahkan sapena kepada beliau ketika Persidangan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra sehingga beliau enggan menerimanya walaupun telah membaca isi kandungannya.


Saya terpaksa menghantar sapena tersebut sekali lagi ke Pejabat beliau di Tingkat 18, Wisma Innoprise, namun beliau berjaya mengelak daripada memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Sandakan setelah Mahkamah meluluskan pengecualian beliau hadir dan Peguam Negara bersedia mewakilinya.

Sebagai anak jati Sandakan, saya kenal Musa Aman sejak 1992 dan kenal Michael Chia serta bapanya Chia Nyet Min, namun ianya tidak menarik minat saya membuat kajian terhadap hubungan Musa Aman dengan Michael Chia dan keluarganya, melainkan setelah Michael Chia ditangkap di Hong Kong atas tuduhan ‘Penggubahan Wang Haram’.

Daripada kajian saya, Empayar McMusa yang wujud sejak 1996 ketika beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah, bukanlah satu rahsia bagi penduduk Sandakan, hatta orang cacat penglihatan di Sungai Manila Sandakan pun tahu hubungannya Michael Chia yang cuba dinafikan Musa Aman.

Berikut adalah Carta Organisasi yang saya sediakan berdasarkan maklumat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan bahawa Yayasan Sabah termasuk Jabatan Perhutanan Sabah (Unit Perhutanan) berada di bawah cengkaman McMusa.





Dengan kelulusan lebih 150,000 hektar kawasan balak kepada lima syarikat Michael Chia sejak 2003, adalah tidak mustahil Empayar McMusa ini akan terus cemerlang selagi Perdana Menteri mengutamakan Musa dan Kroni lalu mengabaikan rakyat yang selama ini menyokong Konsep 1Malaysia yang digagaskannya.

Konsesi Pengangkutan balak Yayasan Sabah melalui Scow yang dimonopoli oleh Michael Chia merupakan ‘dana yang mencurah-curah’ ke dalam akaun Musa Aman terutama ‘tunai’ yang dihantar sendiri oleh Michael Chia kepada Musa Aman sehingga Michael Chia terlupa ada mata yang memerhatinya membawa ‘brief case’ masuk ke rumah Musa Aman sedangkan beliau keluar dengan tangan kosong!

Friday, September 11, 2009

EMPAYAR McMUSA MULA GOYAH?

EMPAYAR McMUSA MULA GOYAH?
Written by Admin
Friday, 11 September 2009 15:49
Oleh: DATUK DR JEFFREY KITINGAN




KETIKA menjadi Pengarah Yayasan Sabah 1984-1994, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ketika itu Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah secara mala-fide memfitnah dan membuat tuduhan palsu ke atas saya kononnya terlibat dengan Skandal RM4 Billion, semata-mata untuk ‘membunuh’ Kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS) kerana ketika itu PBS mendapat sokongan akar umbi dan keluar daripada Gagasan Barisan Nasional.

Mujur niat jahat mereka untuk ‘memusnahkan’ kerjaya saya tidak direstui Tuhan kerana mereka gagal mengemukakan bukti melampaui keraguan munasabah sehingga Mahkamah membebas dan melepaskan saya tanpa syarat, namun agak malang kerana kesannya terhadap PBS masih terasa sehingga kini.

Paling memalukan, mereka menangkap saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama rakan-rakan saya yang tidak berdosa dan kemudiannya membuat pertuduhan palsu ke atas saya sedangkan saya tidak menahu dan tidak melakukan sebagaimana yang didakwa. Mulut saya terkunci kerana tahanan ISA tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan dan hanya di Mahkamah Keadilan baru saya dapat bersuara.

Saya telah membuat laporan polis dan SPRM terhadap Ketua Menteri Sabah dan kroninya melalui 81 Dalil yang lengkap dengan bukti dan keterangan terutama Skandal Wisma Bandaraya dan Konsesi Pembalakan yang dilakukan Musa Aman semasa beliau menjadi Pengarah Yayasan Sabah, Menteri Kabinet dan Ketua Menteri Sabah.

Ironinya, bukan sahaja Musa Aman tidak pernah disiasat atau dipanggil untuk memberi keterangan, malah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan dianugerahi pingat Seri Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (S.P.D.K) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima; Pengarah Siasatan Datuk Jamidan Abdullah dan Pengarah Pendakwaan SPRM Datuk Shukri Abdull dianugerahi Pingat Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (P.G.D.K) serta Bekas Pengarah SPRM Sabah, Puan Hajjah Latifah Md Yatim dianugerahi Pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (A.S.D.K).

Masa untuk bercerita tentang pingat telah berlalu, kini tiba masanya untuk menjalankan siasatan berdasarkan dua laporan polis terbaru saya di Balai Polis Penampang PPG/RPT/5914/09 dan PPG/RPT/6019/09 berhubung kes pemalsuan geran dan pemberian konsesi melalui pintu belakang kepada ‘orang yang tidak dikenalinya’, Michael Chia Tien Foh, yang umum tahu terlibat dengan Kes Penggubahan Wang Haram $S 16 juta di Hong Kong.

Jika dulu Malaysia telah dijajah oleh McDonalds, tetapi kini setelah McCurry memenangi kes paten jenama ‘Mc’ di Mahkamah, timbul pula isu ‘McMusa’, satu jenama baru yang kukuh dalam Empayar Perniagaan di Sabah sejak Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah (2003 hingga kini).





Walaupun ‘McMusa’ tidak dipatenkan dan tidak terlibat dengan perniagaan ‘Franchise’ Makanan Segera, namun McMusa mendapat ‘Franchise’ konsesi ‘Pembalakan Segera’ dan ‘Kontrak Pengangkutan Segera’ yang menjadi nadi kekuatan memperkasa ‘McMusa’ untuk selamanya, selagi Barisan Nasional berkuasa di Sabah.

Modus Operandi yang dilakukan melalui ‘Timber Laundering’ adalah keterlaluan dengan kerjasama Pengarah Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Sam Mannan dan Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah, Mohd Daud Tampokong iaitu kegiatan ‘memfaraidkan’ hutan simpan kelas I atau kelas II kepada Yayasan Sabah sebelum diberikan Konsesi Pembalakan oleh Rakyat Berjaya Sdn.Bhd iaitu anak syarikat Yayasan Sabah.

Datuk Sam Mannan bukan sahaja ‘merestui’ pemalsuan Pelan Pembalakan, iaitu menjadikan kawasan tanah tinggi 25 darjah ke atas kepada 10 hingga 24 darjah bagi membolehkan lesen Pembalakan di keluarkan Jabatan Perhutanan.

Pada mulanya saya berbangga dengan Datuk Sam Mannan yang sebelum ini bersusah payah menemui Mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad membantah sekeras-kerasnya pengwujudan Benta Wawasan oleh Pengarah Yayasan Sabah ketika itu, Datuk Musa Haji Aman.

Namun apabila Musa Aman dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah, Datuk Sam Mannan membuat u-turn 360 darjah dengan terlibat secara langsung mengeluarkan kawasan Hutan Simpan untuk dibalak termasuk Segama-Malua sehingga menjadi ‘padang jarak padang tekukur’ dan mengeluarkan lesen pembalakan di Kawasan Benta Wawasan dibantahnya sebelum ini.

Oleh itu tidak hairan jika beliau merestui pembalakan di kawasan 25 darjah ke atas kerana telah berpengalaman membuat pusingan 360 darjah di tiga konsesi di Hutan Simpan Kelas II Kuamut yang telah saya dedahkan sebelum ini iaitu kepada Danagaya Sdn.Bhd sedangkan kawasan berkenaan tidak langsung boleh dibalak.

Dua daripada konsesi itu iaitu YS 3/07 (6) Seksyen A dan YS 3/07 (6) Seksyen B telah ditangguhkan pembalakannya hasil bantahan saya, namun pembalakan di Konsesi YS 3/07 (5) masih berjalan sedangkan Pelan Kawasan tersebut juga dipalsukan oleh Han Wai Kong di bahagian Remote Sensing Jabatan Perhutanan Sabah, iaitu abang kepada Fran Han Kan Kong, Pengurus Besar Danagaya Sdn.Bhd.

Saya turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR, Zainuddin Hassan yang bukan sahaja telah memfailkan laporan di pejabat SPRM, malah turut menghantar notis meminta penjelasan 14 hari kenapa Jabatan Perhutanan tidak menghentikan kegiatan pembalakan di konsesi YS 3/07 (5) yang sebahagian besarnya adalah tanah tinggi melebihi 25 darjah.

Bukti terbaru yang saya terima ini amat mengejutkan iaitu Sam Mannan dan pegawainya menyediakan laporan pemeriksaan palsu bagi membolehkan lesen dikeluarkan kepada Danagaya Sdn.Bhd atas kapasiti mereka sebagai Pegawai Perhutanan atau atas arahan ‘pihak tertentu’ termasuk Musa Aman.

Surat yang dikemukakan Sam Mannan akan saya dedahkan kemudian kerana saya lebih berminat dengan dua surat yang disediakan masing-masing oleh Othman Matnoh dan Rahmadin Saini daripada Unit GIS (Geography Information System) Jabatan Perhutanan Sabah.













Dua pegawai ini dijadikan ‘kambing hitam’ untuk menyediakan laporan pemeriksaan lapangan ini sedangkan laporan disediakan di pejabat mereka berasaskan pelan yang disediakan oleh Han Wai Kong atas arahan ‘pihak tertentu’.

Dengan adanya pegawai yang tidak amanah menjalankan tugas dan Pengarah Perhutanan dan Pengurus Besar Kumpulan Yayasan Sabah yang hanya tahu menurut arahan dan memikirkan keuntungan singkat, maka wujudlah sebuah Empayar Perniagaan yang amat besar di Sabah iaitu ‘McMusa’ hasil gabungan ‘Empayar Mc’ iaitu singkatan bagi Michael Chia dan Chia Nyet Min (bapa Micheal) dan Musa Aman yang pernah mengisytiharkan hartanya kepada Tan Sri Chong Kah Kiat, iaitu pada 2003 sejumlah RM300 juta setelah dilantik Pengarah Yayasan Sabah, pada 1996 oleh Datuk Seri Panglima, Mohd Salleh Tun Said, Ketua Menteri Kedua di bawah sistem ‘Merry Go round’ yang tidak lagi ‘round’ selepas Musa memegang jawatan berkenaan pada 30 Mac 2003.

Mengikut siasatan dan maklumat yang saya terima, sejak Yayasan Sabah mengswastakan tongkang (Scow) mengangkut kayu balak dari log pond ke lokasi terpilih termasuk ke kapal, dua syarikat milik ‘Bapa Angkat Musa Aman’ iaitu Chia Nyet Min, Kini Abadi Sdn.Bhd dan Imej Berlian Sdn.Bhd telah dilantik bagi menjalankan kontrak berkenaan secara ‘Monopoli’ kerana dua syarikat berkenaan milik ‘Empayah Mc’ yang disokong oleh Sabawangsa Sdn.Bhd sebagai sub-kontraktor.

Jika Musa Aman tidak kenal siapa Michael Chia, dia bukan Musa Aman kerana hubungan antara bapa Michael Chia dengan Musa Aman bermula pada 1993 ketika Chia & Sons hanya menjadi agen pengakutan scow dan bukannya pemegang konsesi pengangkutan seperti sekarang.

Kesemua balak milik Yayasan Sabah di Konsesi Sandakan, Tawau dan Lahad Datu melalui 52 syarikat yang beroperasi di dalam Konsesi Yayasan Sabah termasuk Hutan Simpan yang dijadikan ‘Timber Laundering’ kepada Yayasan Sabah diangkut dengan menggunakan scow milik Kini Abadi Sdn.Bhd dan Imej Berlian Sdn.Bhd.

Kontrak yang dimateri tersebut menghendaki semua balak Yayasan Sabah di angkut daripada Pangkalan Sapi ke Sandakan, daripada Silam Kennedy Bay (Lahad Datu) ke Sandakan dan Tawau ke Sandakan. Walaupun kononnya Jabatan Perhutanan Sabah mengumumkan bahawa sejak 2008 tidak lagi lesen pembalakan dikeluarkan di Lahad Datu, namun pelabuhan Silam Kennedybay yang sebelum ini telah ditutup dijadikan Log Pond untuk semua kayu Yayasan Sabah sedangkan kayu daripada kawasan Tongod semuanya diturunkan di Pangkalan Sapi.

Misteri ‘kehadiran’ banyak kayu balak di Log Pond Silam Kennedy Bay masih belum terjawab kerana SPRM dan Jabatan Audit Negara tidak berminat untuk menjalankan siasatan terutama apabila balak bulat tersebut terus dimuat ke kapal dan bukannya ditarik dengan Scow ke Sandakan. Ke mana destinasi balak tersebut hanya Yayasan Sabah yang tahu!





Walaupun terdapat empat syarikat aktif yang mengendali Scow di Sabah namun mereka tidak dapat menyertai sebarang tender pengangkutan Yayasan Sabah kerana dimonopoli oleh ‘Empayar Mc’.

Saya mendapat maklumat serta bukti yang sahih, namun tidak wajar didedahkan sekarang, melainkan jika benar-benar mendesak, bahawa Yayasan Sabah membayar sejumlah RM15.75 bagi setiap meter padu balak yang dikendalikan oleh ‘Empayar Mc’ namun RM3 akan dipotong sebagai pembahagian syer kepada Musa Aman sejak 2003 secara tunai, iaitu Michael Chia akan menghantar sendiri secara peribadi ‘wang tunai’ tersebut kepada Musa Aman setiap bulan.

Manakala bagi kawasan Konsesi Yayasan Sabah, saya mendapati Musa Aman telah meluluskan 150,000 hektar kawasan konsesi pembalakan kepada ‘Empayar Mc’ sejak 2003 kepada Danagaya Sdn.Bhd, Rimba Kita Sdn. Bhd, Sinabumi Sdn.Bhd, Wangsajadi Sdn.Bhd yang kesemuanya milik Michael Chia yang menggunakan nomineenya, iaitu Gundiknya, Yap Siaw Lin.





Mengikut maklumat yang saya perolehi, Michael Chia akan membayar komsiyen sejumlah antara RM3,000 hingga Rm5,000 sehektar konsesi balak kepada Musa Aman melalui akaun Pemegang Amanah di Hong Kong & Shang Hai Bank, Central Hong Kong.

Michael Chia telah beberapa kali ke Hong Kong untuk mendepositkan dan mengeluarkan wang bagi pihak Musa Aman termasuklah Skandal $S16 juta dan saya akan mendedahkan apabila tiba masanya kerana ianya masih dalam siasatan ICAC dan saya tidak mahu mengganggu kelicinan siasatan.

Walaupun tidak ada media melaporkan kes siasatan ICAC terhadap Michael Chia yang dituduh mempunyai hubungan langsung dengan Musa Aman, namun saya mempunyai rekod penerbangan Michael Chia ke Hong Kong setiap bulan untuk disoalsiasat oleh ICAC Hong Kong.

Malangnya, SPRM yang kononnya mempunyai peralatan yang canggih gagal mengesan pergerakan Michael Chia ke Hong Kong, apa tah lagi mahu menyiasat kekayaan luar biasa yang diperolehi Michael Chia yang mengetuai ‘Empayar Mc’ sejak ditangkap ICAC pada 2.35 petang khamis, 14 Ogos 2008 setelah diintip ICAC berada di Bank Hong Kong Shang Hai, Central Hong Kong pada 13 Ogos 2008.

Mengikut rekod bertulis di ICAC Hong Kong, Michael Chia telah hadir di pejabat ICAC Hong Kong pada tarikh berikut, 10 September 2008, 01 Oktober 2008, 9 November 2008, 30 November 2008, 4 januari 2009, 10 Februari 2009, 30 Mac 2009 namun ianya gagal dikesan oleh SPRM.

Mengikut maklumat dalaman ICAC, mereka sedang peringkat akhir untuk membuat pendakwaan kerana masih memburu seorang lagi ‘agen’ yang terlibat memasukkan wang bagi pihak Michael Chia ke akaun pemegang amanah Musa Aman iaitu seorang peguam di Shelly Yap & Co, Richard Barnes.

Kedatangan ICAC Hong Kong ke Malaysia untuk menemui Richard Barnes ditemani oleh SPRM Sabah bukan menjadi rahsia lagi dan sewajarnya SPRM Sabah mengetahui kes Michael Chia, namun tidak ada fail dibuka untuk menjalankan siasatan melainkan kes Paluamas Sdn Bhd yang sedang dibicarakan di Mahkamah.

Walaupun ada desas desus bahawa wang USD4 billion yang dirampas daripada akaun pemegang amanan berkenaan sudah dicairkan atas pertolongan Kerajaan Malaysia, namun ianya tidak dapat dipastikan kerana Kes Michael Chia masih di peringkat pendakwaan dan tidak mungkin Kerajaan Hong Kong terpedaya dengan surat palsu daripada Jabatan Perdana Menteri Malaysia yang mengesahkan wang berkenaan Milik Kerajaan Negeri Sabah atau Milik UMNO.

Perkembangan terbaru yang tidak menyenangkan saya ialah khabar angin yang mengatakan bahawa Michael Chia sudah membayar RM1.5 juta kepada seorang lelaki, Datuk Albert Lim Yu Ming sebagai pendahuluan daripada sejumlah RM3 juta yang dipersetujui untuk menutup kes rasuah yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang dituduh bersama seorang rakan kongsinya, Lo Man Heng.

Sejak Michael Chia tertangkap di Hong Kong, Albert Lim telah menjadi ‘Orang Paling Kanan’ Musa Aman selain seorang lelaki H.Lim yang menjadi penghubung antara Albert Lim dengan SPRM.







Memandangkan isu yang saya kemukakan di sini amat serius, maka saya memohon jasa baik Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang telah disambung perkhidmatannya selama satu tahun lagi agar menubuhkan unit khas untuk menjalankan siasatan berhubung dengan ‘Skandal Timber Gate’ ini untuk menaikkan imej polis yang tercemar dengan beberapa insiden yang memalukan.

Saya juga memuji Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, kerana walaupun saya membuat laporan polis ketika beliau menerima pingat S.P.D.K daripada Kerajaan Negeri, namun beliau menjalankan siasatan ‘olok-olok’ terhadap Michael Chia namun tidak langsung menyentuh Musa Aman yang menjadi ‘Key Man’ untuk ‘Empayar McMusa’ ini.

Siasatan saya di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati Kini Abadi Sdn.Bhd (253669-A) yang ditubuhkan pada 9 Disember 1992 dimiliki oleh Chia Nyet Min yang memegang 249,998 saham manakala anak-anaknya, Chia Wai Sim dan Chia Wai Hing masing-masing memiliki satu unit saham setiap seorang. Ketiga mereka menjadi Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat berkenaan.

Walaupun syarikat ini mendapat konsesi pengangkutan Yayasan Sabah, namun berdasarkan penyata kewangan bagi tahun berakhir pada 31 Julai 2008, syarikat ini tidak memfailkan penyata kewangan bagi tahun semasa.

Manakala Imej Berlian Sdn. Bhd (331270-D) yang ditubuhkan pada 18 Januari 1995 dimiliki Chia Nyet Min yang memegang 998 unit saham, manakala anak-anaknya, Chia Ten sang dan Chia Wai Hing masing-masing memegang saham nominal satu unit setiap seorang. Ketiga-tiga mereka juga menjadi Ahli Lembaga Pengarah dan Chia Wai Hing dilantik sebagai Pengurus.

Mengikut penyata kewangan yang berakhir 30 April 2008, Imej Berlian Sdn.Bhd memperolehi hasil RM18.26 juta setahun dan hanya mengisytiharkan untung selepas cukai sebanyak RM597,782 sahaja.

Bagi Sabawangsa Sdn.Bhd (729096-M) yang ditubuhkan pada 04 April 2006 dimiliki oleh Michael Chia Tien Foh yang memegang 49,999 saham, manakala isteri pertamanya, Yap Loo Mien juga memiliki jumlah saham yang sama dengan Michael Chia. Pemilik saham lain ialah Chua Fong Fong dan Freddy Mositoh yang masing-masing memegang satu unit saham setiap seorang.

Michael Chia melantik Yap Loo Mien dan Lu Tung Hung sebagai Ahli Lembaga Pengarah Sabawangsa yang tidak menghantar penyata kewangan bagi tahun berakhir 2008.



NOTA PENTING: Pandangan yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi Datuk Dr Jeffery Kitingan dan tidak semestinya pandangan laman web ini. Bukti dan grafik yang disertakan tidak semuanya dipamerkan melainkan sesuai untuk siaran. Sabahkini.net tidak bertanggung jawab di atas sebarang tindakan undang-undang (jika ada) berkaitan artikel ini.