Tuesday, December 16, 2008

Pembalakan Haram Berleluasa – Lebih Lima Kes Tidak Diambil Tindakan

16 Disember 2008

Pembalakan Haram Berleluasa – Lebih Lima Kes Tidak Diambil Tindakan

Kuala Terengganu – “Dato’ Yang Dipertua, saya pohon penjelasan, maksud menjadi-jadi tidak seterusnya jadi hari-hari, mungkin bulan ni jadi, mungkin bulan depan jadi,

“Tetapi realitinya ramai dikalangan penduduk terutamanya ditempat saya, memang berlaku kecurian balak dan balak dirampas oleh pihak berkuasa,

“tetapi ada setengah-setengah orang-orang tertentu yang mencuri balak tetapi terlepas, ini seolah-olah bilis kena tetapi jerung terlepas”tanya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Jabi, Ramlan Ali (BN), apabila soalan asalnya tidak dijawab dengan tepat oleh YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said.

“Kita sedar masalah yang berlaku, sebab itu kita tak mahu berlakunya ‘harapkan pagar, pagar makan padi’, sebab itu saya sentiasa mengharapkan orang kampung orang ramai, kalau perkara ini terus berlaku, laporkan kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah),

“Dan baru-baru ini saya terus menelefon BPR untuk mengambil tindakan hasil maklumat yang saya terima , tapi sehingga kini saya tak tahu apakah tindakan BPR sendiri tentang hal ini,”kata Ahmad Said.

Ahmad dalam memberikan jawapannya, mengakui sedar dan mengalami sendiri kecurian balak dan beliau berkata susah bagi dirinya untuk memberikan jawapan berkaitan kecurian balak yang berleluasa.

ADUN Wakaf Mempelam (PAS), Mohd Abdul Wahid Endut kemudian bangun dan berkata bahawa sebenarnya terdapat lebih dari empat kes pembalakan haram sebagaimana yang diakui oleh Ahmad Said.

Wahid seterusnya meminta Ahmad untuk mendedahkan kepada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dimanakah berlakunya empat kes pembalakan haram yang dinyatakan oleh Ahmad.

“Tadi ditimbulkan ada empat kes, ada empat kes yang disebut berlaku pembalakan haram dan pencerobohan hutan simpan, saya rasa lebih,

“Tapi tak apalah, hok (yang) empat kes tu, tolong khabor (beritahu) gok kat mana?”kata Wahid.

Ahmad dalam jawapannya mengakui bahawa beliau sependapat dengan Wahid, ada banyak kes pembalakan haram yang telah dan sedang berlaku di negeri Terengganu.

Beliau kemudiannnya mendedahkan kes-kes pembalakan haram yang berlaku adalah seperti dibawah;

1. Pembalakan haram diluar Projek Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa Dua di Hutan Simpan Bukit Bauk daerah Dungun pada Januari, 2008

2. Pembalakan haram di kompatmen 5, HS (hutan Simpan) Bukit Kesing daerah Setiu bulan Oktober 2008

3. Melibatkan tebangan pokok di tanah kerajaan di kampung Payung mukim Hulu Nerus pada bulan Januari 2008

4. Tebangan tanpa lesen di tanah kerajaan Bukit Pinang Mukim Hulu Telemong Januari 2008.

Buletinonline pernah menyiarkan laporan pembalakan haram di Hutan Simpan Bukit Bauk setelah perkara tersebut didedahkan oleh media perdana pada 31 Januari lalu.

Dengar Audio Soal Jawab Sidang DUN 15 Disember 2008 Klik Sini

Friday, September 12, 2008

Di sebalik kematian pohon cengal…

TAHUKAH anda berapa harga sebatang pokok cengal?

Jika ada di kalangan rakan anda bergaya ke sana sini dengan kereta Proton Perdananya, katakan kepadanya bahawa kereta itu boleh dibeli dengan hanya sebatang pokok cengal.

Itulah harga sebatang pokok spesies itu yang telah pun hidup selama 100 tahun.

Sekiranya dibiarkan terus tumbuh, pokok cengal boleh membesar sehingga berusia 1,300 tahun, lebih lama umurnya daripada mana-mana empayar yang terkuat di dunia.

Di negara kita terdapat sebatang pokok cengal yang umurnya sudah melebihi 1,300 tahun.

Dengan kuasa Allah, pokok itu mula tumbuh di Hulu Dungun, Terengganu ketika Islam baru 100 tahun berkembang di Semenanjung Arab dan wilayah sekitarnya manakala di Eropah sedang berlaku peperangan antara Empayar Byzantine dan orang Bulgaria.

Pokok itu terus tegak dan hidup subur sampai sekarang ketika berbilion manusia telah pun mati untuk menemui Penciptanya.

Pokok cengal atau nama saintifiknya neobalanocarpus heimii ialah sejenis pokok kayu keras yang popular. Kayu cengal mengandungi sejenis damar semula jadi yang melindunginya daripada serangan anai-anai.

Selain Hulu Dungun, antara kawasan taburan semula jadi pokok ini di Semenanjung Malaysia ialah daerah Raub di Pahang, khususnya di kawasan Hutan Simpan Tersang.

Tersang menjadi kawasan hutan yang dilindungi di bawah undang-undang. Tidak ada pokok boleh ditebang di kawasan itu tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan.

Di kawasan itu sepatutnya tidak ada pokok boleh dibenarkan mati kerana ditebang oleh manusia. Undang-undang menjanjikan hukuman penjara dan denda kepada penebang pokok di kawasan tersebut.

Malangnya, dua bulan lalu kira-kira 20 batang pokok cengal di Hutang Simpan Tersang telah ditebang oleh sekumpulan pembalak haram.

Pokok yang tumbang dibiarkan di dalam hutan begitu sahaja. Menurut para pegawai, pembalak-pembalak haram itu merancang untuk masuk semula ke hutan berkenaan pada musim cuti Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini bagi membawa keluar kayu-kayu cengal tersebut.

Musim cuti perayaan dipilih kerana mereka menjangkakan para pegawai Jabatan Perhutanan akan bercuti panjang pada waktu itu.

Cerita 20 batang pokok cengal yang telah menyembah bumi itu amat mengusik perasaan, namun ia tidak menjadi berita besar walaupun benih-benih cengal di Hutan Simpan Tersang digunakan dalam banyak projek tanaman semula pokok hutan di negara ini.

Rakyat Malaysia lebih gemar mengambil tahu nasib ahli politik seperti Datuk Ahmad Ismail dan Tan Sri Koh Tsu Koon daripada mendengar kisah kematian 20 batang pokok cengal.

Berita nasib pokok cengal itu hanya disiarkan dalam halaman wilayah akhbar nasional. Oleh kerana kisahnya cuma dibaca penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan, takdir pokok-pokok tersebut mungkin tidak sampai kepada pengetahuan para pemimpin dan pegawai kanan kerajaan di Putrajaya.

Selama berpuluh-puluh tahun pokok-pokok itu menyumbang kepada pengeluaran oksigen yang kita hirup untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jasanya banyak, tetapi ia ditaburkan dalam proses yang kita tidak sedari.

Penjenayah yang membunuh pokok yang begitu berjasa kerana memberikan asas terpenting kepada kehidupan manusia tidak kita buru sebagaimana kita menangkap orang yang memberi dan menerima rasuah, atau seperti kita menghukum ahli-ahli politik.

MentalitiKita tidak bersungguh-sungguh memastikan orang yang melakukan jenayah ke atas pokok cengal itu meringkuk di penjara.

Kita tidak ambil peduli sangat sedangkan mentaliti mereka itulah yang memberi kesan kepada alam sekitar, menyebabkan hakisan, kejadian tanah runtuh, pencemaran sungai dan udara serta akhirnya mengakibatkan kemerosotan kualiti hidup kita.

Dari satu segi, cara kita melayan kisah pokok cengal itu menunjukkan kita belum lagi mempunyai sikap yang menjadi sifat sebuah masyarakat maju.

Salah satu ciri penduduk negara maju ialah keprihatinan mereka kepada isu-isu alam sekitar.

Di negara-negara maju, isu alam sekitar merupakan satu faktor dalam politik. Di Amerika Syarikat, misalnya, alam sekitar menjadi bahan debat antara dua bakal Presiden serta menjadi isu yang digunakan untuk menilai pencapaian kepimpinan Presiden.

Pemimpin negara-negara itu sudah lama bercakap mengenai keperluan menukar gaya hidup: kurang memandu kereta, perubahan dalam cara pengeluaran industri, menghentikan penebangan hutan dan kemungkinan rakyat tinggal dalam rumah sempit di kota-kota yang dibina dengan matlamatnya untuk melindungi alam sekitar.

Mereka juga membayangkan bagaimana seluruh dunia perlu berusaha mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar menjelang 2050, satu tindakan yang jika dipaksakan menyebabkan kita perlu bersedia untuk menjadi miskin sedikit kerana akan berlaku kemerosotan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Isu-isu besar itu nampaknya tidak sampai ke Malaysia, atau kalaupun ada disebut ia tidak sehingga menjadi perbincangan di kedai kopi di kalangan rakyat. Hanya sesekali ia dibincangkan di Parlimen.

Kita kekal dengan mentaliti masyarakat negara sedang membangun. Politik kepada kita adalah mengenai perkauman, percaturan kuasa dan pengagihan kekayaan. Dalam politik kita, tiada istilah isu alam sekitar, baik dalam fikiran kaum Melayu, Cina atau India.

Dalam latar inilah 20 batang pokok cengal ditebang oleh pembalak-pembalak haram di Raub dua bulan lepas.

Pohon-pohon itu dikorbankan oleh manusia-manusia tamak yang tahu nilai yang boleh diberi oleh sebatang pokok cengal kepada gaya hidup mereka.

Pemergian ciptaan Allah itu tidak menimbulkan kontroversi dan ia juga tidak ditangisi oleh sesiapa walaupun pohon-pohon itu sebenarnya boleh hidup 1,000 tahun lagi.

Dipetik dari Utusan Online: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm

Tuesday, June 10, 2008

Kerajaan UMNO/BN ‘Makan Habis’ Hutan Simpan

Kerajaan UMNO/BN ‘Makan Habis’ Hutan Simpan PDF | Print | E-mail
Tuesday, 10 June 2008

(buletinonline) Laporan Jabatan Perhutan mendapati bahawa kerajaan-kerajaan negeri yang dikuasai UMNO dan Barisan Nasional telah mengalami kerugian teruk akibat kehilangan keluasan hutan simpan terbesar diantara tahun 2001 dan 2005.

NST Online melaporkan Perak hilang 11,900 hektar (29,000 ekar), keluasan yang lebih kurang sebesar Lapangan Terbang Antarabangsa KL dan Negeri Sembilan hilang 8,800 hektar(22,000 ekar).

Hanya negeri Pahang diantara 11 negeri di Semenanjung yang menambah hutan simpan, manakala Perlis dan Wilayah persekutuan tidak bertambah ataupun berkurang.

Pengarah Perhutan Negeri Sembilan, Ahmad Zainal berkata pengeluaran kayu balak besar-besaran itu dibuat oleh kerajaan yang lalu.

Beliau berkata pihak negeri telah menandakan kawasan yang akan di gazetkan semula, namun beliau tidak mengemukakan saiz penggazetan semula itu.


Beliau juga berkata anggapan sesetengah pihak bahawa adalah mustahil untuk meningkatkan hutan simpan memandangkan jumlah hutan yang berkurang adalah anggapan yang salah.

”Sessebuah negeri boleh menanam semula hutan dan digazetkan semula, program penghutanan semula juga boleh dibuat,’ kata beliau.

Sehubungan dengan itu kerajaan Terengganu di minta mendedahkan hasil penyiasatan terhadap kes pembalakan haram di hutan simpan Bukit Bauk, Dungun.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ustaz Wan Hassan Ramli berkata, sehingga kini sudah empat bulan berlalu namun tidak ada sebarang kenyataan samada dari Jabatan Perhutan Ngeri atau pun dari Exco yang berkenaan.


Menurut beliau pada 23 Jan lalu, media melaporkan Jabatan Hutan Terengganu sedang menyiasat satu laporan berhubung kegiatan pembalakan haram yang didakwa berlaku di luar kawasan yang dibenarkan.
The image “http://buletinonline.net/images/pas/balakharam2.jpg” cannot be displayed, because it contains errors.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat oleh Pengarah Jabatan Perhutanan negeri sendiri, Na'aman Jaafar berkaitan perkara tersebut menunjukkan ianya adalah sesuatu yang serius.

Difahamkan sebelum ini sebuah syarikat pembalakan tempatan diberikan lesen untuk menjalankan pembalakan di kawasan itu untuk tujuan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2. Bagaimanapun, syarikat berkenaan dipercayai melakukan kerja pembalakan melebihi daripada kawasan yang dibenarkan.

Na'aman dalam kenyataannya juga berkata pihaknya membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian itu dan telah memberi amaran akan mengambil tindakan keras jika siasatan mendapati ada orang dalam (kakitangan) yang menutup mata.

Ustaz Wan Hassan Ramli yang juga Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun berharap kerajaan baru Terengganu dibawah
The image “http://buletinonline.net/images/pas/balakharam3.jpg” cannot be displayed, because it contains errors. pimpinan Dato’ Ahmad Said mengotakan kata untuk menjadikan kerajaan yang dipimpin olehnya lebih telus berbanding dengan kerajaan lalu.

”Dato’ Mad Said banyak mempersoalkan tentang projek-projek mega kerajaan lalu yang tidak diurus secara telus, kita berharap beliau tidak mengulangi atau mengikuti jejak langkah yang salah itu,” tambah Ustaz Wan Hassan

Wednesday, January 23, 2008

Jabatan Hutan Terengganu Siasat Pembalakan Haram Di Hutan Simpan Bukit Bauk

Jabatan Hutan Terengganu Siasat Pembalakan Haram Di Hutan Simpan Bukit Bauk

KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Bernama) -- Jabatan Hutan Terengganu sedang menyiasat satu laporan berhubung kegiatan pembalakan haram yang didakwa berlaku di luar kawasan dibenarkan di kawasan Hutan Simpan Bukit Bauk Dungun.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Na'aman Jaafar berkata pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu pada 15 Januari lepas.

"Sebaik menerima laporan, pada hari yang sama kita telah menghantar pegawai hutan daerah untuk menyiasat dan memang berlaku pembalakan di luar kawasan yang dibenarkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya ketika serbuan itu dilakukan yang tinggal hanya tunggul-tunggul pokok balak dan tiada sebarang jentera berat mahupun kayu balak yang telah ditebang ditemui.

Difahamkan sebelum ini sebuah syarikat pembalakan tempatan diberikan lesen untuk menjalankan pembalakan di kawasan itu untuk tujuan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2. Bagaimanapun, syarikat berkenaan dipercayai melakukan kerja pembalakan melebihi daripada kawasan yang dibenarkan.

Na'aman, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut ketika ditanya tentang jumlah kawasan terlibat dalam pembalakan di luar kawasan itu serta anggaran jumlah kerugian.

"Kita telah membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian ini, dan jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras jika siasatan mendapati ada orang dalam (kakitangan) yang menutup mata melihat perbuatan yang dilakukan oleh syarikat terbabit," katanya.

Mengikut prosedur, Na'aman berkata seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah sepatutnya mengawasi kerja-kerja pembalakan yang dilakukan apabila sesebuah syarikat diberikan lesen untuk menebang balak bagi mengelakkan berlakunya pembalakan melebihi kawasan yang dibenarkan.

-- BERNAMA