Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh berkata laporan kertas putih mengenai aktiviti pembalakan ketika pemerintahan PAS, mendapati berlakunya pembalakan yang tidak terkawal sehingga menyebabkan kemerosotan sumber hutan kekal di negeri ini.

Beliau berkata perkara itu dibincangkan pada mesyuarat mingguan exco di sini Rabu dan kerajaan negeri memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas di peringkat exco untuk membincangkan tindakan terhadap cadangan yang telah dikemukakan dalam kertas putih berkenaan.

Katanya laporan itu juga menyatakan bahawa perlunya satu polisi perhutanan yang khusus dirangka bagi mewujudkan sistem perhutanan lestari (sistematik).

"Kita telah menerima laporan kertas putih itu Rabu dan didapati memang berlaku aktiviti yang merosakkan alam sekitar ketika pemerintahan kerajaan PAS dahulu.

"Kita akan meneliti setiap laporan dan cadangan yang dikemukakan untuk diambil tindakan susulan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu Rabu.

Kerajaan Terengganu telah membentuk satu jawatankuasa khas bagi mengkaji aktiviti pembalakan ketika pemerintahan PAS, yang telah mencetuskan isu yang agak panas di negeri ini.

Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas Hakim Mahkamah Agung, Tan Sri Mohd Yusof Mohamad dengan ahli-ahlinya terdiri daripada bekas Ketua Pengarah Perhutanan, Datuk Dr Baharuddin Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah FRIM, Datuk Wan Ghazali Wan Mohamad, Pensyarah Kolej Universiti Sains dan Teknologi (Kustem), Prof Madya Sulong Ibrahim dan seorang peguam.

Idris berkata jawatankuasa berkenaan menjelaskan bahawa Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak pernah membuat permohonan rasmi bagi membina empangan hidro elektrik kedua seperti yang diumumkan ketika pemerintahan PAS.

Oleh itu, katanya aktiviti pembalakan di Mukim Tembat dan Mukim Petuang di Hulu Terengganu seluas 16,800 hektar tidak wajar diteruskan.

Malah, katanya Jabatan Alam Sekitar tidak memberi kelulusan untuk melaksanakan aktiviti berkenaan.

"TNB tidak pernah membuat permohonan rasmi kepada kerajaan negeri mengenai perkara tersebut dan mesyuarat exco Rabu memutuskan bahawa aktiviti pembalakan tidak boleh diteruskan bagi mereka yang belum diberikan lesen," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan negeri bercadang mendedahkan kepada umum hasil laporan kertas putih tersebut, Idris berkata kerajaan perlu mengadakan perbincangan lanjut dengan Penasihat Undang-Undangan Negeri.

"Kita perlu meneliti dahulu perkara itu kerana terdapat isu-isu yang agak sulit dalam laporan itu," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri bersetuju untuk mengkaji semula Skim Kilang Papan di negeri ini bagi mewujudkan sistem perhutanan yang lebih baik.

Katanya ia termasuklah kemungkinan mengurangkan jumlah kilang papan di negeri ini.

Kerajaan negeri juga memutuskan bahawa semua kawasan pembalakan yang diluluskan pada 10 Mac lepas oleh kerajaan PAS, selepas Parlimen dibubarkan 3 Mac, adalah tidak sah, katanya.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata bagi meningkatkan pengurusan perhutanan di negeri ini, kerajaan negeri sedang menimbang untuk menambah jumlah kakitangan perhutanan di samping menyediakan kemudahan latihan yang lebih luas kepada mereka.

Selain itu, katanya kakitangan Jabatan Perhutanan juga akan diberikan pendedahan mengenai sistem terkini dalam urusan kerja mereka.

Menteri Besar juga berkata kawasan hutan Bukit Bauk, Dungun yang mempunyai spesies kayu kapur dipelihara dan aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan akan diganti dengan kawasan lain.