Friday, September 12, 2008

Di sebalik kematian pohon cengal…

TAHUKAH anda berapa harga sebatang pokok cengal?

Jika ada di kalangan rakan anda bergaya ke sana sini dengan kereta Proton Perdananya, katakan kepadanya bahawa kereta itu boleh dibeli dengan hanya sebatang pokok cengal.

Itulah harga sebatang pokok spesies itu yang telah pun hidup selama 100 tahun.

Sekiranya dibiarkan terus tumbuh, pokok cengal boleh membesar sehingga berusia 1,300 tahun, lebih lama umurnya daripada mana-mana empayar yang terkuat di dunia.

Di negara kita terdapat sebatang pokok cengal yang umurnya sudah melebihi 1,300 tahun.

Dengan kuasa Allah, pokok itu mula tumbuh di Hulu Dungun, Terengganu ketika Islam baru 100 tahun berkembang di Semenanjung Arab dan wilayah sekitarnya manakala di Eropah sedang berlaku peperangan antara Empayar Byzantine dan orang Bulgaria.

Pokok itu terus tegak dan hidup subur sampai sekarang ketika berbilion manusia telah pun mati untuk menemui Penciptanya.

Pokok cengal atau nama saintifiknya neobalanocarpus heimii ialah sejenis pokok kayu keras yang popular. Kayu cengal mengandungi sejenis damar semula jadi yang melindunginya daripada serangan anai-anai.

Selain Hulu Dungun, antara kawasan taburan semula jadi pokok ini di Semenanjung Malaysia ialah daerah Raub di Pahang, khususnya di kawasan Hutan Simpan Tersang.

Tersang menjadi kawasan hutan yang dilindungi di bawah undang-undang. Tidak ada pokok boleh ditebang di kawasan itu tanpa kebenaran Jabatan Perhutanan.

Di kawasan itu sepatutnya tidak ada pokok boleh dibenarkan mati kerana ditebang oleh manusia. Undang-undang menjanjikan hukuman penjara dan denda kepada penebang pokok di kawasan tersebut.

Malangnya, dua bulan lalu kira-kira 20 batang pokok cengal di Hutang Simpan Tersang telah ditebang oleh sekumpulan pembalak haram.

Pokok yang tumbang dibiarkan di dalam hutan begitu sahaja. Menurut para pegawai, pembalak-pembalak haram itu merancang untuk masuk semula ke hutan berkenaan pada musim cuti Hari Raya Aidilfitri hujung bulan ini bagi membawa keluar kayu-kayu cengal tersebut.

Musim cuti perayaan dipilih kerana mereka menjangkakan para pegawai Jabatan Perhutanan akan bercuti panjang pada waktu itu.

Cerita 20 batang pokok cengal yang telah menyembah bumi itu amat mengusik perasaan, namun ia tidak menjadi berita besar walaupun benih-benih cengal di Hutan Simpan Tersang digunakan dalam banyak projek tanaman semula pokok hutan di negara ini.

Rakyat Malaysia lebih gemar mengambil tahu nasib ahli politik seperti Datuk Ahmad Ismail dan Tan Sri Koh Tsu Koon daripada mendengar kisah kematian 20 batang pokok cengal.

Berita nasib pokok cengal itu hanya disiarkan dalam halaman wilayah akhbar nasional. Oleh kerana kisahnya cuma dibaca penduduk di Pahang, Terengganu dan Kelantan, takdir pokok-pokok tersebut mungkin tidak sampai kepada pengetahuan para pemimpin dan pegawai kanan kerajaan di Putrajaya.

Selama berpuluh-puluh tahun pokok-pokok itu menyumbang kepada pengeluaran oksigen yang kita hirup untuk meneruskan kelangsungan hidup. Jasanya banyak, tetapi ia ditaburkan dalam proses yang kita tidak sedari.

Penjenayah yang membunuh pokok yang begitu berjasa kerana memberikan asas terpenting kepada kehidupan manusia tidak kita buru sebagaimana kita menangkap orang yang memberi dan menerima rasuah, atau seperti kita menghukum ahli-ahli politik.

MentalitiKita tidak bersungguh-sungguh memastikan orang yang melakukan jenayah ke atas pokok cengal itu meringkuk di penjara.

Kita tidak ambil peduli sangat sedangkan mentaliti mereka itulah yang memberi kesan kepada alam sekitar, menyebabkan hakisan, kejadian tanah runtuh, pencemaran sungai dan udara serta akhirnya mengakibatkan kemerosotan kualiti hidup kita.

Dari satu segi, cara kita melayan kisah pokok cengal itu menunjukkan kita belum lagi mempunyai sikap yang menjadi sifat sebuah masyarakat maju.

Salah satu ciri penduduk negara maju ialah keprihatinan mereka kepada isu-isu alam sekitar.

Di negara-negara maju, isu alam sekitar merupakan satu faktor dalam politik. Di Amerika Syarikat, misalnya, alam sekitar menjadi bahan debat antara dua bakal Presiden serta menjadi isu yang digunakan untuk menilai pencapaian kepimpinan Presiden.

Pemimpin negara-negara itu sudah lama bercakap mengenai keperluan menukar gaya hidup: kurang memandu kereta, perubahan dalam cara pengeluaran industri, menghentikan penebangan hutan dan kemungkinan rakyat tinggal dalam rumah sempit di kota-kota yang dibina dengan matlamatnya untuk melindungi alam sekitar.

Mereka juga membayangkan bagaimana seluruh dunia perlu berusaha mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar menjelang 2050, satu tindakan yang jika dipaksakan menyebabkan kita perlu bersedia untuk menjadi miskin sedikit kerana akan berlaku kemerosotan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Isu-isu besar itu nampaknya tidak sampai ke Malaysia, atau kalaupun ada disebut ia tidak sehingga menjadi perbincangan di kedai kopi di kalangan rakyat. Hanya sesekali ia dibincangkan di Parlimen.

Kita kekal dengan mentaliti masyarakat negara sedang membangun. Politik kepada kita adalah mengenai perkauman, percaturan kuasa dan pengagihan kekayaan. Dalam politik kita, tiada istilah isu alam sekitar, baik dalam fikiran kaum Melayu, Cina atau India.

Dalam latar inilah 20 batang pokok cengal ditebang oleh pembalak-pembalak haram di Raub dua bulan lepas.

Pohon-pohon itu dikorbankan oleh manusia-manusia tamak yang tahu nilai yang boleh diberi oleh sebatang pokok cengal kepada gaya hidup mereka.

Pemergian ciptaan Allah itu tidak menimbulkan kontroversi dan ia juga tidak ditangisi oleh sesiapa walaupun pohon-pohon itu sebenarnya boleh hidup 1,000 tahun lagi.

Dipetik dari Utusan Online: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0912&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm