Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah meminta laporan lengkap daripada kerajaan Perak berhubung laporan akhbar yang mendakwa berlaku pembalakan haram di Hutan Simpan Temenggor dekat Gerik.

Menteri Besar Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata Abdullah telah menghubungi beliau pada 5.15 petang semalam sebelum Perdana Menteri berlepas ke
Jakarta untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Afrika.

"Dia tanya apa yang berlaku, dia ambil berat. Saya maklumkan gambar yang disiarkan dalam The Star itu merupakan tanah yang diterokai oleh Orang Asli," kata Tajol Rosli kepada pemberita selepas menemui pegawai-pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak di pejabatnya di Ipoh Jumaat.

Katanya beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa laporan lengkap mengenai isu itu akan dihantar kepada beliau.

"Malah hari ini kita sudahpun faks laporan awal yang saya terima daripada Jabatan Perhutanan kepada Pejabat Perdana Menteri. Ia akan berada di atas mejanya sebelum beliau balik dari
Jakarta," katanya.

Tajol Rosli juga berkata Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Perak Mohd Nasir Abu Hassan telah diarah menghantar laporan terus kepada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab selepas menyiasat kawasan yang dilaporkan berlaku pembalakan haram itu Isnin ini.

"Kita juga jemput pihak media untuk turut serta bersama timbalan pengarah melawat kawasan itu. Kerajaan negeri telus dalam hal ini," katanya.

Menurut laporan akhbar itu, kawasan Hutan Simpan Temenggor terjejas teruk akibat pembalakan haram di sekeliling kawasan Tasik Temenggor, yang didakwanya dilakukan oleh syarikat yang dipilih Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membuat pembalakan dalam air.

Khamis, Tajol Rosli berkata, tidak ada pembalakan haram di situ tetapi yang berlaku ialah penebangan pokok yang dibenarkan di kawasan simpanan TNB di Tasik Temenggor.

"Ada pokok-pokok yang tumbang dalam air, jadi Jabatan Perhutanan benarkan kontraktor TNB yang terlibat dalam pembalakan dalam air menebang pokok yang telah ditanda di kawasan simpanan TNB sekeliling tasik," katanya.