Wednesday, January 23, 2008

Jabatan Hutan Terengganu Siasat Pembalakan Haram Di Hutan Simpan Bukit Bauk

Jabatan Hutan Terengganu Siasat Pembalakan Haram Di Hutan Simpan Bukit Bauk

KUALA TERENGGANU, 23 Jan (Bernama) -- Jabatan Hutan Terengganu sedang menyiasat satu laporan berhubung kegiatan pembalakan haram yang didakwa berlaku di luar kawasan dibenarkan di kawasan Hutan Simpan Bukit Bauk Dungun.

Pengarah Jabatan Perhutanan negeri Na'aman Jaafar berkata pihaknya menerima aduan berhubung perkara itu pada 15 Januari lepas.

"Sebaik menerima laporan, pada hari yang sama kita telah menghantar pegawai hutan daerah untuk menyiasat dan memang berlaku pembalakan di luar kawasan yang dibenarkan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya ketika serbuan itu dilakukan yang tinggal hanya tunggul-tunggul pokok balak dan tiada sebarang jentera berat mahupun kayu balak yang telah ditebang ditemui.

Difahamkan sebelum ini sebuah syarikat pembalakan tempatan diberikan lesen untuk menjalankan pembalakan di kawasan itu untuk tujuan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2. Bagaimanapun, syarikat berkenaan dipercayai melakukan kerja pembalakan melebihi daripada kawasan yang dibenarkan.

Na'aman, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut ketika ditanya tentang jumlah kawasan terlibat dalam pembalakan di luar kawasan itu serta anggaran jumlah kerugian.

"Kita telah membuka satu kertas siasatan berhubung kejadian ini, dan jabatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras jika siasatan mendapati ada orang dalam (kakitangan) yang menutup mata melihat perbuatan yang dilakukan oleh syarikat terbabit," katanya.

Mengikut prosedur, Na'aman berkata seorang kakitangan Jabatan Perhutanan Daerah sepatutnya mengawasi kerja-kerja pembalakan yang dilakukan apabila sesebuah syarikat diberikan lesen untuk menebang balak bagi mengelakkan berlakunya pembalakan melebihi kawasan yang dibenarkan.

-- BERNAMA